• Mohd Nazree Mohd YunusMohd Nazree Mohd Yunus
 1 / 1 
SHAH ALAM - Seramai tiga pimpinan tertinggi Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini dipanggil ke balai polis bagi menjalani satu siasatan berkenaan perlanggaran Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Menurut Naib Presidennya, Nazree Yunus, mereka yang dipanggil termasuklah Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan beliau sendiri.

Katanya, mereka disiasat di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur jam 10:30 pagi tadi atas dakwaan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Apa yang saya dimaklumkan, kami dipanggil untuk satu siasatan di bawah APA 2012.

“Kami dimaklumkan, penganjuran serta penyertaan perhimpunan pada 22 Jun lalu di Padang Merbok telah dianggap melanggar Akta tersebut,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.

Tambah Nazree lagi, beliau percaya siasatan ini akan dilanjutkan kepada Peguam Negara untuk dibuka kertas siasatan.

“Saya percaya siasatan ini akan diteruskan kepada Peguam Negara,” katanya.

Mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 mana-mana individu yang didapati menyertai perhimpunan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 9, 10 dan 11 Akta Perhimpunan.