Hakim Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Amran Jantan menjatuhkan hukuman itu setelah pemilik syarikat mengaku bersalah semasa pertuduhan dibacakan.

Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Batu Pahat, dalam siasatan 24 Julai tahun lalu menerima aduan daripada orang ramai yang menyatakan kilang itu membuang sisa industri ke saliran berhampiran mereka.

Apabila pemeriksaan dilakukan ke premis berkenaan yang terletak di Jalan Minyak Beku mendapati telah melakukan kesalahan seperti aduan yang dilaporkan.

Hasil siasatan dalam kawasan premis mendapati terdapat aliran air daripada aktiviti perindustrian mengalir masuk ke longkang kilang sebelum memasuki longkang awam tanpa dirawat terlebih dahulu.

Sampel aliran itu telah dianalisa di Jabatan Kimia Malaysia, Johor menunjukkan efluen tersebut mengandungi paras kepekatan melebihi had yang ditetapkan.

Turut ditemui Pepejal Terampai iaitu 2,900 mg/l melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 100mg/l dan turut terdapat kandungan COD iaitu 10,300mg/l melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 200mg/l.

Syarikat itu didakwa dengan Peraturan 11(1)(b) dan Peraturan 12(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, akta sama.

Hukuman sebanyak RM24,000 dikenakan kepada pemilik syarikat berkenaan dan jika gagal membayar saman akan dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan.
Pihak pendakwaan diwakili Aznor Lamat manakala, kilang diwakili pengurusnya, Tan Sien Nian.