Search This Blog

Saturday, August 31, 2013

Keluarga peneroka disamun ketika sedang tidur



ROMPIN - Sembilan sekeluarga yang sedang tidur disamun empat lelaki yang bersenjatakan parang di Felda Keratong 8 di sini awal pagi tadi.

Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri yang berumur sekitar 40-an, enam orang anak mereka serta seorang menantu perempuan yang kesemunya berumur antara tiga hingga 24 tahun.

"Kejadian kira-kira 3 pagi itu disedari menantu peneroka itu yang bangun untuk ke bilik air dan ternampak beberapa lelaki di dalam rumah itu sebelum dia menjerit.

"Peneroka berkenaan yang tersedar dari tidur apabila mendengar jeritan itu bingkas bangun, tetapi dia dihampiri suspek yang memegang parang," kata Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengikat kesemua mangsa dan mereka dikumpulkan di dalam sebuah bilik sebelum suspek menggeledah rumah tersebut.

Suspek turut mengetuk kepala mangsa dan anak lelakinya yang berusia 24 tahun dengan objek keras bagaimanapun mereka hanya cedera ringan sementara mangsa yang lain tidak dicederakan, katanya.

Johari berkata selepas menggeledah rumah itu kira-kira setengah jam, para suspek melarikan diri bersama barangan kemas, tujuh telefon bimbit, sebuah komputer riba serta wang tunai bernilai RM3,100.

Kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM14,100.

Beliau berkata suspek didapati memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang diumpil. - Bernama

No comments:

Post a Comment