SABAK BERNAM – Polis masih menjalankan siasatan terhadap empat warga asing yang cuba menjadi dalang membawa keluar 24 warga asing dari perairan negara ini ke Indonesia kerana dipercayai menjadi mangsa tipu ejen terbabit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, hasil siasatan awal polis ke atas mangsa dari tiga negara itu mendapati mereka ditipu ejen kononnya ingin membawa mereka melancong.

Bagaimanapun katanya, siasatan terhadap kes itu masih dijalankan dan polis akan mengambil keterangan beberapa lagi saksi (mangsa) dan empat lelaki warga Indonesia yang dilaporkan cuba menguruskan perjalanan keluar warga asing terbabit.

“Kes ini masih dalam perhatian polis memandangkan ada saksi yang mendakwa mangsa ditipu dan dipercayai dieksploitasi untuk dibawa keluar ke negara ini atas tujuan tertentu.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan dan kita harap kes ini dapat diselesaikan dan jika cukup bukti, perkara ini akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, empat warga asing dari Sumatera Indonesia yang ditahan reman itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba keluar dan masuk dari Malaysia melalui laluan tidak diwartakan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Sinar Harian 31 Julai lalu melaporkan taktik bodoh seorang lelaki warga asing kononnya mahu ke Pulau Pinang dengan menaiki bot menggunakan jalan air memerangkap diri apabila dia ditahan bersama 27 lagi warga asing dalam sebuah bot di Kunci Air Sungai Nibong.

Seorang suspek warga asing itu cuba mencari helah dengan mendakwa mahu ke Pulau Pinang, bagaimanapun ‘kantoi’ apabila seorang tekong memberitahu mereka mahu dibawa ke Indonesia.

Kesemua mereka ditahan kira-kira jam 2.30 pagi oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang diketuai Inspektor Amir Hamzah Mohamed bersama 13 lagi anggotanya dalam ‘Ops Nyah Satu Selangor’.

PGA yang menerima maklumat daripada orang awam berjaya menahan empat lelaki warga Indonesia, 10 wanita dan dua lelaki warga Somalia, 11 lelaki warga Sudan dan seorang lelaki warga Kenya.