• Dua pusat judi berkomputer diserbuPegawai polis dari IPD Segamat menunjukkan mesin judi yang dirampas dalam serbuan malam kelmarin.
 1 / 1 
SEGAMAT - Polis melumpuhkan kegiatan judi berkomputer yang beroperasi di daerah ini dengan menggunakan lesen hiburan keluarga dalam dua serbuan yang dilakukan malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi berkata, serbuan dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dengan kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru.

“Serbuan pertama dilakukan di tingkat bawah sebuah bangunan pada jam 9.30 malam dan pihak polis berjaya merampas 27 mesin judi berkomputer. Ketika serbuan terdapat seramai 35 orang pengunjung sedang bermain.

“Serbuan kedua dilakukan di Taman Yayasan pada jam 12.30 tengah malam dan hasil serbuan, pihak polis berjaya merampas 47 mesin judi berkomputer dan 62 orang pengunjung yang sedang leka berjudi,” katanya pada sidang media di IPD Segamat, semalam.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua premis di Taman Yayasan diserbu dan pemilik yang sama tidak mengambil pengajaran dengan tindakan yang diambil oleh pihak polis sebelum ini.

"Pihak polis juga telah menahan dua orang penjaga premis perjudian berkenaan.

“Kami juga merampas wang tunai sebanyak RM6,000 ketika serbuan pertama dan RM5,000 pada serbuan kedua di kaunter premis tersebut dan kami tidak pasti duit tersebut adalah hasil keuntungan perjudian atau sebaliknya.

“Kesemua pengunjung yang berada di premis berkenaan dilepaskan setelah keterangan mereka diambil,” katanya.

Menurut Kamil, kesemua premis judi itu menggunakan nama pusat hiburan keluarga dan memiliki lesen tetapi menyalahgunakan lesen tersebut dengan meletakkan mesin judi berkomputer di premis perniagaan mereka.

"Operasi membanteras judi berkomputer ini akan diadakan secara berterusan dan kami meminta kerjasama awam menyalurkan maklumat tepat berhubung kegiatan berkenaan.

“Setiap penjaga premis yang ditahan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta 4B(A) Rumah Judi Terbuka yang boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya.