Search This Blog

Sunday, August 4, 2013

Dua lelaki didakwa membunuh


NG Teng Tat (kiri) dan Chin Kiat Kee (kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal, semalam.
NIBONG TEBAL 2 Ogos - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam keadaan kering dan kehitaman di sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong Jentayu Indah, Taman Jentayu Indah.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Salwa Ja'afar.
Menurut kertas pertuduhan, Ng Teng Tat, 35, dan Chin Kiat Kee, 45, bersama-sama beberapa lelaki lain yang masih bebas didakwa membunuh Cheah Poh Lye, 44, antara pukul 8 pagi, 17 Jun lalu dan 12.30 tengah hari, 16 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Oktober depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat mayat mangsa yang ditemui mati di rumah tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farhana Hashim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mayat Poh Lye ditemui ketika pemeriksaan dilakukan selepas jiran mengadu kediaman dua tingkat dihuni lelaki itu sejak Mac lalu berbau busuk.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130803/ma_05/Dua-lelaki-didakwa-membunuh#ixzz2b0mOOGKd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment