Search This Blog

Friday, August 2, 2013

Dadah: Pelajar Nigeria dipenjara 12 tahun




SHAH ALAM - Seorang pelajar lelaki warga Nigeria hari ini dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki heroin dan morfin seberat 90.99 gram di Subang Jaya dua tahun lepas.
 
Uchenna Onuzulike, 37, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Alim Abdullah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan kepadanya di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta sama jika sabit kesalahan.
 
Dia pada mulanya didakwa mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang  membawa hukum gantung sampai mati sebelum diberikan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.
 
Onuzulike didakwa memiliki 80.59 gram heroin dan 10.4 gram morfin yang ditemui di bahagian dalam dua alat mainan skuter (scooter roller board) yang dibungkus di dalam dua kotak berasingan untuk dihantar ke luar negara.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Traxenim Corp Sdn Bhd, sebuah syarikat penghantaran, di Jalan USJ 10/1 Subang Jaya pada 1.30 tengah hari, 24 Mei 2011.
 
Hukuman ke atasnya berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada hari yang sama. - Bernama

No comments:

Post a Comment