IPOH - Bunyi letupan berkali-kali menyedarkan lena seorang pengawal keselamatan sebelum bertindak menyelamatkan diri dalam kebakaran yang melibatkan dua rumah papan di Jalan Tambun, malam kelmarin.

Ali Din, 60, salah seorang penghuni rumah papan tersebut ketika ditemui berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, dia sedang tidur di bahagian ruang tamu.

Menurutnya, secara tiba-tiba dia mendengar bunyi letupan yang kuat sehingga menyebabkan dia terjaga dan melihat apa yang berlaku di luar rumah.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat rumah dikelilingi api yang sedang marak sehingga menyebabkan bahagian dapur dipenuhi asap tebal.

“Saya segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Nasib baik beberapa orang kampung datang memberi pertolongan,” katanya yang memberitahu insiden tersebut pertama kali berlaku sejak dia tinggal di rumah itu.

Katanya, beberapa dokumen penting serta barang berharga musnah dalam kebakaran itu.

“Walaupun gagal menyelamatkan barangan berharga namun saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Penguat kuasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 9.40 malam.

Menurutnya, seramai 20 anggota termasuk pegawai terbabit dalam operasi memadam kebakaran dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 9.48 malam.

“Sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Pasir Putih dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

“Selepas bertungkus lumus kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira lima minit kemudian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan dua buah rumah papan yang terletak berhampiran antara satu sama lain.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, api sedang merebak pantas memandangkan rumah dibina daripada kayu.

“Sewaktu kerja pemadaman dijalankan, kami terpaksa meletakkan jentera di tepi jalan utama kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan kerana laluannya terlalu sempit.

“Salah satu daripada rumah papan itu gagal diselamatkan dan musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah musnah kira-kira 80 peratus.

“Malah, penghuni rumah yang hangus itu yang tinggal bersendirian tiada di rumah kerana dipercayai keluar bekerja,” katanya.

Samasuvam berkata, bagaimanapun api dapat dikawal daripada merebak ke rumah yang terletak berhampiran.

Katanya, punca sebenar kebakaran masih dan jumlah kerugian bagi kedua-dua rumah berkenaan masih disiasat.