Search This Blog

Sunday, August 4, 2013

Bekas Pengarah, CEO KPF Quality Foods didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Seorang bekas Pengarah dan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPF Quality Foods Sdn. Bhd. yang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas satu tuduhan pecah amanah melibatkan dana syarikat itu berjumlah lebih RM30 juta, dua tahun lalu.
Tan Han Kook, 59, dan Sarchu Sawal, 64, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Han Kook yang ketika kejadian merupakan ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dana KPF melalui 20 keping Penerimaan Jurubank (Banker's Acceptance) berjumlah RM13,164,955.
Sarchu pula sebagai CEO didakwa melakukan perbuatan sama terhadap dana syarikat itu melalui 27 keping Penerimaan Jurubank berjumlah RM16,963,825.
Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 2, Blok B, Anjung Felda, Jalan Maktab di sini, antara Ogos 2011 dan Februari 2012.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
KPF Quality Foods merupakan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjalankan projek Gedung Makanan Negara (GMN).
Pada 7 Disember tahun lalu, Han Kook telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, bersama seorang lagi CEO syarikat berkenaan atas 134 tuduhan menipu pegawai Malayan Banking Bhd. menggunakan dokumen palsu membabitkan lebih RM67 juta.
Dia yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu turut didakwa atas 134 tuduhan alternatif menggunakan dokumen palsu ketika permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank kepada Malayan Banking.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azlin Sabtu mencadangkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Harvinderjit Singh memohon jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai pekerjaan.
Beliau memohon jaminan sebanyak RM800,000 untuk Han Kook iaitu jumlah ditetapkan dalam kes tuduhan menipu pegawai bank berkenaan.
Harvinderjit turut memberi alasan pertuduhan hari ini melibatkan Penerimaan Jurubank sama seperti pertuduhan sebelum ini selain memaklumkan anak guamnya telah diisytiharkan muflis.
Beliau turut memohon jumlah jaminan untuk Sarchu dikurangkan kepada RM50,000 kerana anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM selain dia secara sukarela telah hadir ke mahkamah tanpa ditangkap.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130803/ma_04/Bekas-Pengarah-CEO-KPF-Quality-Foods-didakwa-pecah-amanah#ixzz2b0l0jpUh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment