ORANG ramai melihat sebuah kenderaan SUV ditenggelami air banjir di Bamako kelmarin.- REUTERS
BAMAKO, Mali - Sekurang-kurangnya 23 orang maut selepas ibu negara Mali di sini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam, kata seorang pegawai kerajaan kelmarin.
Pengarah Pembangunan Sosial Mali, Alassane Bocoum berkata, beribu-ribu orang hilang tempat tinggal selepas air Sungai Niger melimpahi tebing dan membanjiri bandar itu.
Sebanyak 100 buah rumah dilaporkan rosak dalam bencana itu.
"Terdapat 23 kematian dan identiti mangsa telah dikenal pasti," kata Bocoum.
Banjir di barat Afrika berlaku pada musim hujan antara Jun hingga Oktober.
Bencana alam itu kerap mendatangkan kerosakan serta penularan wabak penyakit ekoran sistem pengairan yang lemah di bandar itu.
Dalam perkembangan berkaitan, ramai mangsa mendakwa banjir kilat kali ini disebabkan pihak berkuasa gagal menyelenggara sistem perparitan dengan sempurna.
"Saya sudah menetap di sini selama 30 tahun. Saya telah beberapa kali melihat banjir tetapi tidak seburuk ini," kata seorang penduduk setempat. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2dVmywQGR
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment