Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Warga emas, remaja maut

Warga emas, remaja maut
Keadaan mayat Mohd Shafiq yang maut dalam kemalangan di Chica, malam kelmarin.
KOTA BHARU - Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, seorang lelaki warga emas dan remaja maut dalam kemalangan berasingan di Wakaf Stan dan Chica, Kubang Kerian di sini petang dan malam kelmarin.

Kejadian pertama melibatkan warga emas, Awang Hamat, 63, berlaku pada jam 6.50 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki sendirian menghala ke Kubang Kerian hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan dan dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dari arah sama.

Akibat kejadian itu, mangsa yang pada mulanya mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi semalam akibat masalah jantung.

Manakala kemalangan kedua pula melibatkan Mohd Shafiq Che Huhaim, 19, berlaku pada jam 11.30 malam, ketika mangsa yang menunggang sendirian motosikal jenis Yamaha RXZ membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan.

Mohd Shafiq membuat pusingan U dari Wakaf Stan menghala ke Kubang Kerian dan dilanggar sebuah kenderaan jenis Nissan Sunny dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa yang cedera di kepala disahkan mati di tempat kejadian.

“Kes pertama pada mulanya hanya melibatkan kecederaan di kepala, namun mangsa disahkan meninggal di hospital akibat komplikasi jantung.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mereka telah dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

No comments:

Post a Comment