Warga asing terus digempur
Sebahagian 36 warga asing ditahan imigresen dalam operasi melibatkan empat lokasi sekitar Bandaraya Ipoh, kelmarin.
IPOH – Seramai 21 lelaki dan seorang wanita ditahan dalam satu operasi Imigresen Negeri di sebuah pusat membeli belah di Meru Raya, petang kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak, Ahamad Puat Abd Hamid berkata, operasi bertujuan membanteras warga asing yang berniaga di bazar-bazar perniagaan yang dibuka sepanjang Ramadan.

“Daripada tangkapan itu, 19 lelaki dari Pakistan, dua dari Bangladesh dan seorang wanita Indonesia ditahan kerana melakukan kesalahan iaitu tinggal tanpa pas sah, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa di negara ini.

“Ini merupakan serbuan kali kedua di lokasi sama dan didapati pemilik masih tidak takut menggajikan mereka yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Mereka antara 36 warga asing yang ditahan dalam operasi melibatkan empat lokasi termasuk di Jalan Leong Sin Nam, dua pusat refleksologi di Bandar Seri Botani dan Taman Pertama Taiping serta sebuah kafe di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Ipoh.

Ahamad Puat berkata, sembilan wanita warganegara Indonesia dan Thailand berusia 28 hingga 47 tahun ditahan kerana menjalankan aktiviti pelacuran.

“Ketika serbuan mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang dan menyembunyikan diri antara dinding bilik yang diubahsuai. Salah satu premis yang diserbu turut menawarkan pakej urutan badan ke badan dengan harga RM140.

“Namun, kesemua mereka didapati masuk ke negara ini atas pas lawatan sosial sebagai pelancong tetapi dipercayai menyalahgunakan pas tersebut untuk bekerja,” katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditangkap ditahan selama 14 hari di Depot Tahanan Imigresen Langkap bagi tujuan siasatan lanjut.