Wanita nyaris maut, tangki minyak kereta pecah
Pasukan bomba sedang melakukan kerja pembersihan jalan.
SEREMBAN –  Seorang wanita nyaris maut selepas kereta Daihatsu Charade dipandunya dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang sebelum kenderaannya pula melanggar kereta lain di bahagian hadapan di Jalan Tun Dr Ismail di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan tangki minyak kereta mangsa pecah dan mengakibatkan tumpahan minyak di atas jalan raya.

Menurut sumber, semua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Mantin.

Bagaimanapun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta mangsa.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa pula melanggar kereta jenis Proton Wira di hadapannya sebelum kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.

“Bagaimanapun mangsa yang berusia lingkungan 50-an hanya cedera ringan manakala pemandu Proton Wira dan lori terbabit  tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sumber berkata, rempuhan lori berkenaan menyebabkan tangki minyak kereta mangsa pecah dan mengakibatkan tumpahan minyak di atas jalan raya.

Kata sumber, pasukan bomba terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk membersihkan tumpahan minyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan,” katanya.