Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Tiada jeritan diperkosa


Kuala Lumpur: Tiada jeritan didengari ketika berlakunya kes rogol di perkampungan sukan Sukan Malaysia (SUKMA) 2013, Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lalu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, situasi itu menyebabkan pengawal keselamatan yang bertugas tidak mengesan kejadian rogol terbabit, apatah lagi dia dilaporkan berlaku dalam bilik mangsa.


Beliau berkata, pihaknya memang menitikberatkan isu keselamatan atlet dengan mengasingkan atlet lelaki dan wanita, malah MSN turut bekerjasama dengan polis bagi menjamin keselamatan setiap atlet yang bertanding dalam satu-satu temasya.


“Kami sudah mengetatkan kawalan keselamatan dan mendapat kerjasama polis malah pihak UPM sendiri melanjutkan tugas pegawai keselamatan mereka untuk membuat kawalan demi keselamatan atlet.


“Pengawal keselamatan sentiasa membuat rondaan tapi atlet terlalu ramai dan mereka ini bertaburan di beberapa kolej.


“Kejadian (rogol) ini pula bukan berlaku di kawasan yang boleh dipantau pengawal keselamatan. Bila atlet masuk ke bilik ia bukan lagi tanggungjawab pegawai keselamatan.

“Polis juga tidak boleh periksa setiap bilik kecuali ada terdengar dia bertempik atau meraung dan kita dilaporkan tiada perkara itu berlaku jadi kalau di bilik lebih kepada atlet sendiri dan mungkin pengurusan pasukan,” katanya menambah pihaknya memandang serius perkara itu.


Zolkples berkata, seramai 5,000 atlet terbabit pada temasya ke-16 itu dan MSN mengikut garis panduan penginapan yang ditetapkan oleh pengurusan UPM dengan mengasingkan atlet lelaki dan wanita.

Tegasnya, ada segelintir atlet dilaporkan menukar bilik sesuka hati sebagai contohnya atlet bola tampar pantai yang menukar bilik tanpa mendapat kebenaran dan apabila perkara itu diketahui mereka dipaksa untuk kembali ke blok yang ditetapkan.


Zolkples berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku dalam sejarah SUKMA sekali gus ia mencacatkan kelancaran temasya yang berakhir semalam.


Namun Zolkples menyifatkan perkara itu sebagai kes terpencil dan boleh terjadi di mana-mana dan malangnya ia berlaku di perkampungan sukan.


Mengulas mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap pesalah kes itu, Zolkples berkata, dia akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dengan pengurusan.

No comments:

Post a Comment