Kereta Proton Wira yang dipandu Fauzila terbabas ke kanan jalan sebelum masuk ke dalam longkang.
Kereta Proton Wira yang dipandu Fauzila terbabas ke kanan jalan sebelum masuk ke dalam longkang.
JUASSEH – Gara-gara terlena seketika, seorang kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kuala Pilah nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam parit di jalan Kuala Pilah-Batu Kikir berhampiran Taman Anggerik, jam 2 petang, semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Fauzila Yahya, 29, dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Kampung Terentang untuk mengambil ibunya yang menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Padang Lebar.

Fauzila berkata, selepas kejadian itu, dia tidak sedarkan diri dan hanya tersedar selepas dibawa ke klinik oleh orang ramai.

Menurutnya, dia mengakui terlena seketika ketika memandu kerana terlalu letih.

"Kejadian itu berlaku begitu pantas dan saya langsung tidak sedar diri sejurus kemalangan.

Tidak sempat mengambil ibu di kampung, saya pula dimasukkan ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya mungkin terlena sekejap, menyebabkan kereta  saya memasuki lorong bertentangan dan terbabas ke kanan jalan, lalu melanggar tiang lampu sebelum masuk ke dalam parit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia lega kerana kejadian itu tidak melibatkan orang lain.

Fauzila yang memandu kereta jenis Proton Wira bersendirian cedera di bahagian mulut dan hidung.

Sementara itu, seorang penduduk, Hasbullah  Abd Jalil, 45, kawasan itu sering berlaku kemalangan akibat kecuaian pemandu.

“Sepanjang saya menetap di taman ini dari tahun 2000, tidak kurang lapan orang maut akibat kemalangan di kawasan ini dan kebanyakannya berpunca daripada kecuaian pemandu.

“Tempat kejadian merupakan selekoh tajam dan tempat garisan berkembar tetapi mengapa ada juga pemandu yang memotong di kawasan tersebut," katanya.

Katanya, kalau semua pemandu mematuhi undang-undang pasti kemalangan sebegini dapat dihindarkan.

"Tidak lama lagi, musim perayaan dan diharap pemandu dapat berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan jiwa berlaku di sini,” katanya.