Terjun dari tingkap hotel
Azid Ismail
JERANTUT- Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup terjun daripada tingkap di salah sebuah hotel bajet setinggi satu tingkat di Sungai Jan untuk melarikan diri apabila bilik yang disewa mereka diserbu sepasukan polis kira-kira jam 4.50 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Suprintendan Azid Ismail berkata, namun remaja itu berjaya ditahan manakala seorang lagi rakannya berusia 24 tahun ditahan di dalam bilik itu.

Menurutnya, daripada pemeriksaan yang dilakukan sepasukan polis seramai sembilan anggota dalam bilik itu menjumpai lima paket dadah jenis heroin seberat 31 gram yang dianggarkan bernilai RM1,500 hingga RM2,000.

“Remaja lelaki yang terjun dari tingkap itu mengalami sedikit kecederaan dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius.

“Kedua-dua remaja itu yang beralamat di Temerloh dan Mentakab kini ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Azid berkata, kedua-dua remaja itu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Menurutnya, jika disabit kesalahan kedua-dua remaja itu boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sehubungan itu Azid menasihatkan ibu bapa agar mengambil tahu apa yang dilakukan anak mereka agar tidak terjebak dalam kancah penagihan dadah.

“Kita perlu sama-sama membendung gejala ini supaya ia tidak menular dalam masyarakat terutama anak muda yang menjadi pewaris kepimpinan negara masa akan datang,” katanya.