Tekad berhenti minum air ketum
Daniel membeli air ketum dalam bungkusan dan kemudian dicampurkan dengan bahan lain untuk mendapatkan lebih kepuasan.
KUALA KANGSAR – “Saya buat keputusan untuk berhenti minum air ketum apabila banyak baca kes ketum di akhbar. Lagipun, polis sekarang pun makin giat banteras ketum ini.”

Demikian kata seorang bekas penagih air ketum, Daniel (bukan nama sebenar) yang sudah berhenti minum air tersebut sejak sebulan lalu.

Menurutnya, sudah lebih setahun dia ketagih air ketum dan ia bermula daripada sifat ingin tahu serta mahu mencuba perkara baru.

“Masa itu saya tengok kawan-kawan saya minum. Saya tanya air apa itu, mereka tak cakap dan suruh saya cuba. Saya pun cuba sajalah.

“Lepas minum, saya muntah-muntah. Walaupun muntah pada awalnya, saya tetap nak minum air itu lagi. Bila dah mula minum balik, saya pun jadi ketagih,” katanya.

Tambah Daniel, bila lama tidak minum air itu, dia akan mula rasa ketagih malah hingus juga banyak keluar dari hidungnya.

“Biasanya saya minum ketum ni bukan air ketum kosong saja. Selalunya memang campur dengan macam-macam minuman dan benda lain.

“Kalau minum kosong saja tak sedap. Bila campur baru rasa lain. Tapi tak elok untuk kesihatan bila campur macam itu. Tapi masa itu  fikir nak sedap saja,” jelasnya.

Kata Daniel, dia membuat keputusan untuk berhenti minum air  itu kerana melihat tindakan polis yang semakin aktif membanteras gejala berkenaan selain pendedahan media yang banyak menyentuh isu ketum.

Jelasnya, dia juga tidak mahu dirinya terus ketagih dengan ketum kerana bimbang dengan kesihatannya lalu bertekad untuk berhenti walaupun permulaannya sangat sukar.

“Tak keruan rasanya. Bila tak minum ketum dalam beberapa hari. Jadi saya tak mahu lagi perkara ini berlaku , itu sebab saya terus berhenti,” katanya.