Search This Blog

Wednesday, July 17, 2013

Suspek cuba lari terbabas

Suspek cuba lari terbabas
Suspek terbabas ketika cuba melarikan diri dari polis.
LUNAS - Gara-gara cuba melarikan diri daripada polis, seorang remaja lelaki berusia 16 terbabas ketika memasuki selekoh Jalan Paya Besar dari Jalan Kilang Lama, kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian suspek menunggang motosikal berseorangan.

Menurutnya, ketika suspek sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Kilang Lama, dia terserempak dengan van dinaiki tujuh anggota dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Daerah Kulim (IPD) Kulim.

Takut dicekup, suspek bertindak agresif dan memecut motosikal ditunggangnya.

“Apabila memasuki jalan Paya Besar, suspek terus membelok bagaimanapun terbabas dan terseret lebih 50 meter. Mangsa mengalami kecederaan di tangan manakala motosikalnya rosak di bahagian hadapan dan sebelah kanan.

"Polis mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah manakala motosikalnya ditunggang tidak memiliki cukai jalan. Polis kemudiannya mengambil tindakan saman sebelum mengarahkan suspek mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai remaja bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen dan ada kalangan mereka menunggang motosikal yang sudah diubah suai dipercayai dicuri.

Katanya, menunggang motosikal curi merupakan satu kesalahan serius dan ia boleh mengakibatkan mereka terlibat menerima hukuman penjara dan denda.

“Kita akan terus mengeluarkan saman terhadap semua pesalah trafik tidak kira dimana saja. Sama ada mereka terlibat mahu membayar saman itu atau tidak, ia merupakan permasalahan kedua.

"Sekiranya saman dikeluarkan tidak dibayar, kita akan senarai hitamkan nama mereka dan ini mengakibatkan pemilik motosikal akan berhadapan masalah apabila hendak memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan dimasa akan datang. Mereka tetap akan membayar saman terlebih dahulu untuk membolehkan lesen dan cukai jalan diperbaharui,” katanya.

No comments:

Post a Comment