Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Suami geram buka langkah kung fu


Georgetown: Aksi kung fu seorang lelaki yang mengejar dan menolak peragut yang merampas beg tangan isterinya membuahkan hasil apabila penjenayah terbabit ditahan dalam kejadian di Jalan Love Lane, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang juga pelancong dari China bersama anak mereka mengambil gambar kenangan di kawasan berkenaan.


Bagaimanapun, suspek yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ketika itu memerhatikan pergerakan mangsa sebelum dia yang menunggang motosikal menghampiri wanita terbabit.



Menurut sumber, suspek menarik beg tangan mangsa, tetapi wanita terbabit yang juga anggota polis di negaranya menjerit meminta tolong.


“Mendengarkan jeritannya itu, suami mangsa yang berada tidak jauh dari lokasi itu bertindak berani dengan mengejar penjenayah terbabit sebelum menolaknya hingga terjatuh.


“Suspek ditahan sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, tetapi ujian air kencing didapati positif dadah jenis morfin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan penahanan suspek berkenaan.


“Hasil pemeriksaan lanjut, kami turut menemui dan merampas kembali beg yang diragut serta polis menemui wang RM429 dan sebuah telefon bimbit.

“Kami juga menemui semula pasport, kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit serta kad bank milik mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.


Menurut Gan, pihaknya juga akan menghantar surat penghargaan kepada suami mangsa atas keberaniannya membantu menahan suspek terbabit.


Katanya, surat berkenaan dijangkakan disampaikan menerusi Kedutaan China di sini.

No comments:

Post a Comment