Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Skuad khas berkas 200 pengedar dadah

PUTRAJAYA 7 Julai - Satu skuad khas yang baru ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 4 Julai lalu bagi memburu pengedar dadah termasuk yang dikategorikan sebagai 'jerung' telah menunjukkan prestasi baik dengan berjaya menahan lebih 200 pengedar di Kuala Lumpur dan Selangor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, skuad yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar itu kini akan memperluaskan operasinya di tiga buah negeri 'panas' iaitu Pulau Pinang, Johor dan Perak.
"Saya mahu polis cari hingga lubang cacing pengedar dadah yang mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai tapak pengedaran terutamanya ke Indonesia dan Australia.
"Kita tidak bertoleransi dengan pengedar dadah skala kecil atau besar. Kita akan menguatkuasakan semua peruntukan yang ada dalam Akta Dadah Berbahaya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Antidadah Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Daud Tahir dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Zuraidah Mohamed.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, arahan turut dikeluarkan kepada pucuk pimpinan agensi di bawah kementerian supaya tidak berlembut terhadap pegawai yang terlibat dalam pengedaran dadah.
"Jika ada pegawai atau kakitangan polis, AADK atau penjara yang terlibat, mereka akan dikenakan tindakan paling keras mengikut undang-undang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan akan mengawal penggunaan daun ketum mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika keadaan memerlukan.
"Jika boleh menyebabkan ketagihan, maka ADB perlu merangkumi daun ketum. Ia boleh dilakukan melalui pindaan akta jika keadaan memerlukan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130708/je_01/Skuad-khas-berkas-200-pengedar-dadah#ixzz2YS2eMEr3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment