Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

‘Saya bimbang penceroboh acu parang’


Kepala Batas: “Saya terpaksa mendiamkan diri kerana bimbang nasib isteri dan anak, selain diacu parang. Saya terpaksa membiarkan penceroboh menggeledah rumah,” kata Abdul Mutalib Ismail, 41, selepas rumahnya di Pongsu Seribu, di sini, diceroboh empat lelaki, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa tidur dalam bilik bersama isterinya, Norzaini Zainol, 41, dan dua anak mereka, Auni Musfirah, 6, dan Aina Maisarah, lapan bulan.


Menurut Abdul Mutalib, dia dikejutkan seseorang dan ternampak kelibat empat lelaki dengan dua daripadanya memegang parang manakala seorang lagi memegang kayu.



“Mereka yang menutup muka dengan kain dan baju mengarahkan saya jangan bising dalam dialek Indonesia sebelum mengikat tangan saya dan isteri dengan kain batik.


“Selain diikat, muka saya ditutup dengan baju sebelum bertanya di mana dompet, barang kemas dan telefon.


“Bimbang keselamatan isteri dan anak, saya terpaksa beritahu di mana barang berkenaan disimpan dan kebetulan semuanya berada dalam bilik,” katanya ketika ditemui, semalam.

Penceroboh terbabit mengambil barang kemas bernilai RM10,000 selain wang RM1,000 serta enam telefon bimbit sebelum keluar melalui pintu belakang yang berhampiran hutan.


Abdul Mutalib berkata, penceroboh terbabit memasuki rumahnya melalui tingkap dapur dengan memotong lima besi tingkap nako.

“Selepas 30 minit, saya berjaya melepaskan ikatan, tetapi semua penceroboh sudah tiada,” katanya.


Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

No comments:

Post a Comment