Samseng libas parang
Pegawai Penguatkuasa JIM negeri ketika memeriksa 14 wanita termasuk 13 GRO yang ditahan dalam serbuan malam kelmarin hingga awal pagi semalam.
AYER KEROH - Tindakan seorang samseng yang mengugut menggunakan parang dan kayu besbol tidak mematahkan semangat pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri untuk menyerbu sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, di sini, malam kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, perbuatan melibas tiga parang ke arah pegawai itu dilakukan dua minggu lalu sebelum penguatkuasa membuat serbuan kali kedua, empat hari kemudian.

Pasukan penguatkuasa bukan sahaja balik dengan tangan kosong malah hanya mampu melihat lebih 20 gadis pelayan pelanggan (GRO) dilarikan menaiki tiga van ketika dikepung oleh beberapa lelaki dipercayai samseng kelab berkenaan.

Bagaimanapun, serbuan kali ketiga ke pusat hiburan berkenaan kelmarin akhirnya membuahkan hasil apabila 15 pegawai penguatkuasa berjaya menahan lima GRO warga asing, kira-kira jam 10 malam.

Ketua Penguatkuasa JIM negeri, Asani Ladjani berkata, tiga gadis Vietnam dan dua dari China berusia 20-an itu antara 22 yang ditahan daripada 34 orang diperiksa dalam empat serbuan berasingan selama enam jam berakhir tiga pagi semalam.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya dan berjaya menahan lapan GRO warga Vietnam ketika mereka sedang melayan pelanggan.

“Serbuan kedua pula dilakukan di pusat hiburan di kawasan sama dan membawa kepada penahanan lima warga asing dari Vietnam dan China kerana melanggar syarat permit,” katanya.

Asani berkata, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri dari Indonesia bersama rakan lelaki mereka warga sama  di Merlimau, Jasin kira-kira jam 3 pagi, semalam.

Menurutnya, kesemua warga asing itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.