Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Ros berdarah!


Kaherah: “Mata saya melihat sendiri seorang penyokong Presiden Mesir, Dr Muhamed Mursi ditembak tepat di kepala hingga mati sebaik menyerahkan sekuntum bunga ros kepada seorang anggota tentera,” kata pengamal media, Mustafa Zakaria Abdul Hamid, 29.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, mangsa berusia 20-an menghampiri anggota tentera yang bertugas berhampiran Istana Presiden Hars Jumhuriah bagi menyerahkan bunga ros itu sebagai simbol keamanan.


“Lelaki terbabit yang menyerahkan bunga ros berkenaan bagaimanapun ditembak di kepala dari arah belakang oleh anggota tentera terbabit.

“Keadaan kemudian menjadi kelam-kabut sejurus itu apabila berpuluh gas pemedih mata dilepaskan pihak tentera ke arah ribuan penunjuk perasaan yang membanjiri hadapan Istana Presiden bagi menuntut supaya Muhamed Mursi dibebaskan dan dikembalikan kuasa beliau,” katanya.


Menurutnya, turut menjadi mangsa seorang jurutera, Subhi Al Haddad, 34, penyokong kuat gerakan Islam Ikhwan Muslimin berasal dari bandar Baltim, Wilayah Kafr Syeikh.


“Dalam kejadian Jumaat lalu, Subhi ditembak mati sebaik menggantung poster gambar Mursi di pagar berduri dipasang pihak tentera di hadapan bangunan pengawal Republik berhampiran istana presiden.

“Bagaimanapun, seorang pegawai tentera yang berada di lokasi kejadian mengoyakkan poster berkenaan menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara Subhi dan pegawai tentera itu,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang juga bapa kepada dua anak kecil bagaimanapun ditembak mati di kepala secara mendadak oleh pegawai tentera berkenaan.

“Tindakan kejam itu menunjukkan pihak tentera tidak menghiraukan nyawa rakyat dan sanggup bersekongkol dengan Ketua Majlis Tentera Mesir, Abdul Fatah As-Sisi untuk merampas kuasa daripada Muhamed Mursi.


“Kekejaman pihak tentera terus berlarutan apabila seramai enam penyokong Mursi dibunuh di istana Presiden, 16 mangsa di Dataran Nahdhah berhadapan Universiti Kaherah dan 25 lagi mangsa di wilayah Iskandariah sejak Rabu lalu,” katanya ketika ditemui berhimpun secara aman di Dataran Raba’ah Al Adawiyah, Madinat Nasr, di sini, semalam.


Turut ‘berkampung’ di dataran itu lebih 100 ribu penyokong yang berhimpun sebagai tanda bantahan terhadap kekejaman dilakukan terhadap Mursi dan rakyat Mesir.


Pada masa sama pemimpin kumpulan Islam yang menyokong Mursi terus ditekan apabila pejabat Pendakwa raya Selatan Giza menahan reman Presiden Parti Rayahm, Syeikh Hazim Solah Abu Ismail atas tuduhan merancang pembunuhan penunjuk perasaan dan menyalurkan bantuan senjata api kepada penyokong presiden Mursi, semalam.


Langkah sama diambil pejabat pendakwaraya selatan Kaherah turut mengeluarkan perintah menahan Ahli Jawatan Kuasa Parti Kebebasan dan keadilan (FJP) Pusat, Dr Mohammaed El-Biltajim, Naib Presiden FJP, Dr Esom Eryan dan pendakwah islam, Dr Sofwat Hijazi selepas turut dikaitkan dengan jenayah sama.

No comments:

Post a Comment