Roboh mini bar haram
Kakitangan MDB merobohkan salah satu daripada tiga mini bar di Pasir Panjang, Pulau Perhentian, pagi kelmarin.
PULAU PERHENTIAN – Walaupun kerap kali usaha merobohkan mini bar haram di Pasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun pemiliknya tetap berdegil dengan terus membina bangunan baru di situ.

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Ibrahim Mohamad berkata, bagaimanapun tindakan mereka membawa padah apabila penguat kuasa Majlis Daerah Besut (MDB) bertindak merobohkan tiga premis di kawasan sama pagi kelmarin selepas membuat risikan.

Menurutnya, pada Februari lalu, MDB telah merobohkan tujuh premis dan  dua mini bar haram pada Mac lalu kerana dibina di atas tanah rizab pantai dan turut menjual minuman keras.

“Dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahhari kelmarin, tiga mini bar dipercayai menjual minuman keras telah dirobohkan dan 13 botol minuman keras yang tidak sempat dilarikan pemilik premis turut dirampas," katanya yang memberitahu operasi berkenaan melibatkan 2 anggota MDB dan dibantu dua anggota polis.

Ibrahim berkata, pihaknya kesal dengan kedegilan pengusaha premis yang terus membuka premis mini bar dan menjual minuman keras walaupun premis itu dirobohkan beberapa kali.

Menurutnya, mereka dipercayai mengaut keuntungan dengan menjual pelbagai minuman termasuk minuman keras kepada pelancong khususnya pelancong asing.

"Mini bar itu dibina dari pokok yang diperoleh dari hutan berhampiran serta kayu-kayu terbuang dan sempena Ramadan ini, MDB akan menggiatkan usaha pemantauan di pulau itu serta tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengeluarkan notis,” katanya.

“Pembinaan premis haram bukan sahaja menjejaskan pemandangan di situ, malah membahayakan pengunjung kerana keadaan premis tidak kukuh,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, senarai menu makanan atau minuman yang dipamerkan pada papan iklan kurang sopan antaranya ‘Sex On The Beach’.