Search This Blog

Wednesday, July 17, 2013

Restoran tipu

Restoran tipu
Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan ke atas premis yang mempamerkan logo halal tanpa sijil yang sah.
JOHOR BAHRU – Risikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) mendapati banyak restoran dikesan mengambil kesempatan mengaut untung pada bulan puasa dengan menawarkan promosi bufet Ramadan tanpa menggunakan logo halal yang diiktiraf.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Mohd Mahzan Ibrahim berkata, Jaij hanya mengeluarkan sebanyak 168 sijil halal kepada premis makanan yang menawarkan promosi bufet Ramadan di seluruh Johor.

Menurutnya, hanya restoran yang diberi pensijilan halal sahaja boleh membuat promosi bufet Ramadan, manakala premis yang tidak mempunyai sijil halal yang sah tidak dibenarkan.

“Pengusaha tidak boleh sewenang-wenangnya menggantung kain rentang atau pelbagai bentuk promosi bufet Ramadan yang ditawarkan tanpa pensijilan halal yang sah.

“Tindakan boleh diambil di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011 dan jika sabit kesalahan pengusaha boleh dikompaun sehingga RM500,000 dan ke atas,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi di premis makanan sekitar Gelang Patah dan Bukit Indah, kelmarin.

Mohd Mahzan berkata, operasi yang diadakan bertujuan memantau dan penguatkuasaan Akta Perdagangan 2011 bagi promosi bufet Ramadan yang diadakan tanpa penggunaan pensijilan sah halal.

Katanya, sebanyak lapan agensi kerajaan bersama 72 anggota terlibat membuat pemeriksaan terhadap empat premis yang mempamerkan promosi Ramadan tanpa sijil halal yang sah.

“Sebelum itu kita telah membuat pemantauan beberapa hari sebelum ini. Kita juga telah menurunkan papan tanda dan iklan yang tertera logo halal tanpa sijil yang sah kerana secara terang-terangan ia salah,” katanya.

No comments:

Post a Comment