Search This Blog

Tuesday, July 30, 2013

Remaja hilang selepas kerja

Remaja hilang selepas kerjaAhmat(kanan) menunjukkan gambar Siti Sakira dan laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Kurau

PARIT BUNTAR - Belum sempat sepasang ibu bapa meraikan hari pertama anak perempuan mereka bekerja, remaja berkenaan tidak pulang ke rumah kerana dipercayai mengikut teman lelaki yang dikenali melalui lama sosial.

Siti Sakira Ahmad, 18 dipercayai hilang pada 8 Julai lalu, iaitu pada hari pertama dia mula bekerja di sebuah kilang di sini.

Bapanya, Ahmad Awang, 75 memaklumkan, sejak hari itu tiada sebarang berita mengenai Siti Sakira diterima oleh keluarganya sehingga ke hari ini.

Menurutnya, Siti Sakira merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik dan pada hari kejadian, dia tidak pulang ke rumah sehingga waktu malam, manakala usaha untuk menghubunginya gagal kerana telefon bimbitnya ditutup.

"Kerana bimbangkan keselamatannya, saya pergi ke rumah salah seorang rakan sekerja Siti Sakira dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa anak saya telah keluar dari kilang lebih awal.

"Rakan sekerja Siti Sakira turut memaklumkan bahawa dia (Siti Sakira) telah dijemput oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya ke suatu tempat tidak diketahui," katantya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Kurau, kelmarin.

Sementara itu kakak mangsa, Norizan Ahmad, 22 memaklumkan bahawa dia serta ibunya telah cuba menghubungi Siti Sakira setiap hari, namun telefon bimbitnya sentiasa tertutup.

Menurutnya, usaha tanpa jemu menghubungi Siti Sakirah akhirnya berhasil apabila adiknya membalas panggilan telefon beberapa hari selepas itu.

"Adik maklumkan dia kini berada di Tanjun Bungah, Pulau Pinang dan meminta kami masukkan wang ke dalam akaun banknya untuk membolehkan dia pulang ke rumah.

"Tetapi bila saya cadangkan untuk ambil dia di sana, dia beri pelbagai alasan sebelum talian telefonnya terputus," katanya.

Norizan berkata, sejak dari itu Siti Sakira terus mendiamkan diri sehinggalah tiga hari lalu apabila adiknya itu menghubunginya menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali.

Menurutn Norizan, daripada perbualan itu, Siti Sakira memaklumkan bahawa dia telah berada di Perlis dan talian telefon terputus secara tiba-tiba.

"Saya segera hubungi semula nombor telefon berkenaan dan ia dijawab oelh seroang lelaki. Apabila saya tanya tentang Siti Sakira, tiba-tiba lelaku itu tengking saya dan mengatakan dia tidak kenal Siti Sakira lalu meletakkan telefon.

"Kerana peristiwa itu saya bimbang adik saya mungkin sedang disembunyikan seseorang untuk tujuan tidak baik. Mungkin juga dipaksa melakukan sesuatu oleh lelaki itu. Kami buat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau kerana keluarga kami
bimbangkan keselamatan adik.

"Saya minta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai lokasi terkini adik saya berada untuk menghubungi talian 012-523 4872 untuk menyalurkan maklumat itu kepada kami," rayunya.

No comments:

Post a Comment