Pusat hiburan dikepung
Penguatkuasa Imigresen Johor memeriksa wanita warga asing yang ditahan.
Pusat hiburan dikepung
Menyorok bawah sinki taktik elak dicekup.
JOHOR BAHRU - Cubaan wanita warga asing melarikan diri ketika serbuan gagal dan mereka berjaya ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa, di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada jam 1.15 pagi yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Khairulanuar Abu Bakar, telah menahan 16 wanita warga asing yang berusia 17 hingga 26 tahun.

Khairulanuar berkata, kesemua wanita itu terdiri daripada 13 wanita warga Vietnam, dua wanita Myanmar dan seorang rakyat Indonesia.

“Ketika premis pusat hiburan ini diserbu, wanita-wanita ini cuba melarikan diri melalui pintu belakang.

"Bagaimanapun, mereka ditahan selepas anggota operasi terdiri daripada 20 orang mengepung premis.

“Kesemua yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan.

"Malah mereka juga didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Dalam serbuan di lokasi berasingan, seramai tujuh wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 29 tahun yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman Daya, di sini.

Khairulanuar berkata, kesemua wanita terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan.

Katanya, semua wanita yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.