Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Pesawat Asiana terhempas, 2 maut


PESAWAT 214 milik Asiana Airlines terbakar di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco ketika mendarat kelmarin. Pesawat dari Seoul, Korea Selatan itu membawa 307 orang penumpang.


SAN FRANCISCO - Sebuah pesawat Boeing 777 milik penerbangan Asiana Airlines terhempas dan terbakar ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco di sini kelmarin.
Pesawat itu dipercayai terbabas dari landasannya.
Dua orang dilaporkan terkorban manakala 182 yang lain cedera dalam nahas tersebut.
Penerbangan 214 itu membawa 307 orang terdiri daripada 291 penumpang dan 16 anak kapal apabila ia berlepas dari Seoul, menuju ke bandar raya ini di Amerika Syarikat.
"Nahas ini luar biasa kerana tidak ramai mangsa yang terkorban. Namun, ramai yang cedera parah," kata Datuk Bandar San Francisco, Edwin Lee yang turut mengucap takziah kepada keluarga mangsa.
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan dalam satu kenyataan semalam memberitahu, ekor pesawat 'menghentam' landasan yang menyebabkan ia menyimpang ke kiri dan terhempas.
Ketua jabatan bomba bandar raya ini, Joanne Hayes-White berkata, dua mangsa yang terbunuh merupakan pelajar dari China berusia 16 tahun iaitu Ye Meng Yuan dan Wang Lin Jia
Menurutnya, seramai 123 orang lagi tidak cedera dalam kemalangan tersebut.
Biro Siasatan Persekutuan menyatakan, tiada tanda-tanda bahawa nahas disebabkan oleh keganasan.
Nahas kelmarin merupakan kemalangan maut pertama yang melibatkan pesawat penumpang Asiana sejak Jun 1993 apabila sebuah pesawat Boeing 737 terhempas di Korea Selatan dan menyebabkan 68 orang terbunuh. - AFP

No comments:

Post a Comment