Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Pesawat Asiana Airlines terhempas, 2 terbunuh


Pesawat Asiana Airlines meletup dan terbakar selepas terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, kelmarin menyebabkan dua orang terbunuh dan 180 yang lain cedera. - AFP
SAN FRANCISCO 7 Julai - Sebuah pesawat syarikat penerbangan Asiana Airlines terhempas dan meletup ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, di sini semalam, menyebabkan dua orang terbunuh, manakala lebih 180 lagi cedera.
Menurut beberapa saksi, bahagian ekor pesawat Boeing 777 yang membawa seramai 307 penumpang itu, termasuk 16 anak kapal dilihat mencecah landasan terlebih dahulu ketika ia mendarat.
Keadaan itu menyebabkan ekor pesawat itu patah dan pesawat itu melantun.
Serpihan badan pesawat bertaburan di atas landasan.
Ketika kejadian, pesawat itu baru tiba dari Seoul, Korea Selatan
Gambar yang diambil oleh saksi menunjukkan penumpang berpusu-pusu meluru keluar dari pesawat itu sejurus ia terhempas.
Rakaman televisyen memaparkan pesawat itu dipenuhi asap tebal sebelum ia meletup, menyebabkan bumbung pesawat itu musnah.
Setakat ini, pihak berkuasa tidak dapat memastikan punca nahas tersebut.
Kebanyakan penumpang pesawat tersebut merupakan warga China, Korea dan Amerika Syarikat (AS).
Pegawai bomba dari Jabatan Bomba San Francisco, Dale Carnes berkata, seramai 49 penumpang mengalami kecederaan parah, manakala yang lain diberi rawatan sebagai pesakit luar di beberapa hospital berhampiran.
"Kebanyakan penumpang mengalami luka-luka kecil, melecur, patah serta kecederaan dalaman," katanya.
Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco ditutup selama beberapa jam selepas nahas itu, menyebabkan beberapa penerbangan dilencongkan ke Los Angeles, Seattle, Oakland dan San Jose. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130708/lu_02/Pesawat-Asiana-Airlines-terhempas-2-terbunuh#ixzz2YRuqrxEy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment