Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Perusuh bakar balai polis


Sumatera Selatan: Perusuh membakar dua balai polis di wilayah ini selepas polis menembak mati seorang lelaki disyaki perompak.

“Dua balai polis, satu di daerah Rupit dan satu di Rawas Ulu, dibakar,” kata jurucakap polis Sumatera Selatan, Djarod Padakova, semalam.


Menurutnya, polis masih menilai keadaan tahanan yang ditahan di kedua-dua balai itu yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan antara satu sama lain.



Serangan berlaku kelmarin, sehari selepas pasukan polis Indonesia meraikan ulang tahun ke-67. Balai polis di Rupit pernah musnah selepas dibakar April lalu berikutan pertelingkahan mengenai penubuhan sebuah kawasan pilihan raya baru.


Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan penduduk dikatakan marah dengan kematian seorang lelaki tempatan, HH, yang ditembak mati kerana enggan menyerah diri kepada polis.


Perusuh turut menyekat laluan lebuh raya yang menghubungkan Lubuk Linggau di Sumatera Selatan dengan Jambi hingga awal pagi semalam.

HH dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam beberapa rompakan.


“Kami melancarkan serbuan kelmarin. Suspek enggan menyerah diri walaupun selepas beberapa tembakan amaran dilepaskan. Kami tiada pilihan lagi, kecuali menembaknya,” kata Djarod.

Polis turut merampas pistol buatan sendiri daripada mangsa yang mati ketika dalam perjalanan ke hospital.


Djarod berkata, dia tidak dapat memastikan punca polis begitu dibenci di kawasan berkenaan.


“Kami masih menilai masalah itu. Saya yakin penduduk Sumatera Selatan masih mahu kehadiran kami bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya. - JG

No comments:

Post a Comment