Search This Blog

Friday, July 26, 2013

Perompak larikan emas RM500,000

SEREMBAN: Lima lelaki bersenjatakan pistol nekad melarikan tujuh dulang emas bernilai kira-kira RM500,000 dalam kejadian rompakan kedai emas di pekan Mantin, dekat sini, walaupun kedai berkenaan hanya terletak kira-kira 200 meter dari Balai Polis Mantin, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, empat daripada suspek memakai topi keledar bercermin gelap dan berpakaian hitam meluru masuk dari pintu hadapan kedai emas terletak di lot tepi bangunan di Jalan Besar Mantin manakala seorang dipercayai menunggu di dalam kenderaan di belakang premis. 
Pemilik kedai, Lee Yun, 60-an, berkata, ketika kejadian tiga pekerjanya di ruang pameran manakala dia di bilik belakang dalam kedai.

Katanya, seorang suspek melepaskan sedas tembakan amaran sebelum rakannya memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan kemudiannya memasukkan tujuh dulang barangan kemas dalam sebuah beg.
Foto
Cemin simpanan barang kemas yang pecah. FOTO Mohd Amin Jalil

"Sebaik menyedari kehadiran penyamun terbabit, saya keluar dari bilik dan dalam keadaan kelam kabut saya sempat mengambil sepucuk senapang patah milik saya yang disimpan di bawah meja dan terus melepaskan sedas tembakan ke arah suspek namun tersasar.

"Bagaimanapun tindakan itu tidak dapat menghalang mereka melarikan barang emas kerana kejadian berlaku begitu pantas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Lee Yun berkata, seorang kakitangannya mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terkena serpihan kaca cermin simpanan barang kemas.

Beliau yang sudah menjalankan perniagaan di situ sejak lebih 20 tahun lalu berkata, rompakan itu yang mengambil masa singkat menyebabkan ia tidak disedari orang ramai selepas mereka melarikan diri ke arah belakang kedai.

"Saya menganggarkan kerugian kira-kira RM500,000 namun lega kerana ketika kejadian tiada pelanggan di premis malah saya dan tiga lagi pekerja selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan beberapa pucuk pistol digunakan suspek adalah palsu.

"Kita juga menemui sepucuk pistol mainan tidak jauh dari premis berkenaan kemungkinan terjatuh ketika suspek tergesa-gesa melarikan diri.

"Buat masa ini kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan untuk mengesan identiti suspek yang terbabit. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata api," katanya.

No comments:

Post a Comment