Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Penyangak usung gas


Kuala Lumpur: Tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipecahkan dalam tiga kejadian berasingan di Kepong, Cheras dan Serdang, pagi semalam membabitkan kerugian mencecah RM280,000.

Dalam kejadian pertama di Jalan Rimbunan Raya, Kepong jam 5.30 pagi itu, dua lelaki cuba membawa lari mesin ATM yang dipecahkan menggunakan rantai besi yang diikat pada sebuah lori.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek bagaimana pun gagal membawa lari mesin ATM itu dan meninggalkannya beberapa meter dari lokasi kejadian.



“Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengenal pasti kedua-dua suspek berkenaan,” katanya.


Menurutnya, kejadian kedua berlaku di sebuah pasar raya di Taman Connaught, Cheras, selepas disedari jam 7 pagi oleh pengawal keselamatan premis berkenaan.


Katanya, suspek dipercayai masuk melalui bilik stesen jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan menebuk lubang sebelum memecah mesin ATM di dalam bangunan dan membawa lari RM200,000.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan jenayah itu dilakukan antara tiga hingga empat suspek yang memakai topeng selain menggunakan gas oxy dan memotong wayar CCTV untuk mengelakkan perbuatan mereka dirakam,” katanya.


Beliau berkata, kejadian ketiga pula berlaku di sebuah pasar raya di Taman Kinrara, Serdang jam 7.50 pagi dan turut membabitkan kedai emas serta pejabat pengurusan pasar raya dengan kerugian RM80,000.

Saksi kejadian di Taman Kinrara yang enggan dikenali berkata, dia melihat tiga lelaki keluar dari pasar raya itu dengan membawa sebuah bagasi dan beg sandang dipercayai mempunyai wang.


Katanya, tiga lelaki berusia 20-an itu masuk melalui pintu belakang dan keluar dari premis melalui pintu depan dalam keadaan tergesa-gesa.


“Saya tidak menyangka mereka merompak mesin ATM di dalam pasar raya itu dan tidak membuat laporan. Saya mengetahui kejadian itu selepas melihat polis datang untuk membuat siasatan,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, dia tidak mendengar sebarang bunyi bising dan yakin tiga lelaki itu menyamun pada awal pagi.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, suspek menebuk dinding simen di bahagian ruangan buangan sampah.


Katanya, mereka turut menggunakan gas oxy untuk memecah dan membakar mesin ATM kerana terdapat kesan terbakar di sekitarnya sebelum melarikan wang tunai.


“Selepas mendapat wang, mereka memecahkan kedai emas yang berada di tingkat dua dan membawa lari sedikit emas sebelum masuk ke pejabat pengurusan di tingkat tiga.


“Suspek turut melarikan dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan polis percaya mereka mengetahui selok-belok di dalam pasar raya itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment