Peniaga kosmetik cedera ditembak
Seorang anggota polis forensik melakukan pemeriksaan di pintu pagar rumah peniaga kosmetik yang ditembak, pagi semalam.
PUCHONG - Seorang peniaga kosmetik berusia 38 tahun cedera di lengan dipercayai akibat ditembak dua lelaki yang memecah masuk rumahnya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa dan isteri dikatakan tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi bising di luar biliknya.
Mangsa kemudian mendapati terdapat dua lelaki tidak dikenali di depan pintu bilik tidurnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, adik ipar mangsa yang tinggal di rumah sama di Taman Kinrara Seksyen 5 di sini memberitahu, dalam kejadian berlaku terlalu pantas itu dia terdengar bunyi letupan di luar pintu bilik.

Menurutnya, sebaik pintu bilik dibuka, adik ipar mangsa memaklumkan mendengar abang iparnya menjerit perkataan rompak beberapa kali sambil berlari mengejar suspek.

"Dalam keadaan kelam-kabut, wanita itu mengejutkan suaminya untuk membantu abang iparnya yang berlumuran darah.

“Saksi mendakwa ternampak dua lelaki melarikan diri menggunakan sebuah kereta Chevrolet yang diletakkan di luar pagar rumahnya.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil pintu utama dan meloloskan diri menggunakan laluan sama.

Mangsa dikatakan menjalankan perniagaan sendiri sejak 10 tahun lalu dan tidak mempunyai rakan kongsi.