Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Pembantu restoran maut


KULAIJAYA – Dua maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 43, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Taman Manis, Kelapa Sawit, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.10 malam itu menyebabkan penunggang motosikal, Ismadi Ismon, 27, dan penumpang kereta, Padrick Anak Pandong, 23, terkorban.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dari arah Johor Bahru membelok masuk ke simpang kanan dan dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Zulkefly berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, namun disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam.

“Pemandu kereta serta penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan turut dirawat di hospital sama,” katanya.

Sementara itu, rakan Padrick, Robson Lukas, 19, memberitahu mangsa yang berasal dari Sri Aman, Sarawak tidak mempunyai keluarga di negeri ini dan bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran dekat sini.

“Kali terakhir saya bertemu mangsa kira-kira sebulan lalu. Saya dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa Padrick oleh pakcik yang menghubungi saya.

“Keluarga Padrick sudah pun diberitahu mengenai kematiannya dan saya akan cuba uruskan penghantaran mangsa ke Sarawak secepat mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment