Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Pegawai Petronas didakwa terima rasuah RM13,800

ALOR SETAR 8 Julai - Seorang pegawai kanan Petronas hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menerima rasuah RM13,800 sebagai upah pembekalan Cecair Gas Asli (NGL) kepada sebuah syarikat pada 2008.
Ishak Hashim, 47, Pengurus Kanan Pengurusan Risiko Pelanggan Petronas, yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM23,000, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.
Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pengurus Logistik, Kumpulan Minyak Mentah di Petronas, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 1485, Kampung Alor Janggus, Napoh, dekat Jitra, pada 12 tengah hari antara 15 hingga 20 Jun 2008.
Ishak didakwa meminta suapan RM200 bagi setiap lori daripada Pengarah Syarikat Erision Chem Sdn Bhd iaitu Choo Ka Ckye dan Abdul Khair Walli Mohamed melalui akaun Maybank rakannya, Syed Mustaffa Syed Abu Bakar sebagai upah pembekalan NGL sebanyak 69 lori.
Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Ishak diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Hakim Mohd. Rosli membenarkan kes Ishak disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Julai ini.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi manakala Ishak diwakili peguam Jasvinderjit Singh.
Ishak dan seorang rakannya, Idris M.Suhud, 47, didakwa dengan lapan pertuduhan rasuah berjumlah RM426,000 dan empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM385,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat lepas.
Beliau didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM23,000 sebagai upah pembekalan NGL kepada sebuah syarikat kontraktor pembelian minyak.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang anggota polis, Koperal Ab. Razak Yaakub, 53, mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM100 daripada peniaga barang lusuh, Siva Shanker sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana menjalankan perniagaan tanpa permit di Langkawi.
Dia yang bertugas di Balai Polis Kuah, melakukan perbuatan itu di Restoran Haji Ali, Langkawi pada 7.55 malam 19 Jun tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan oleh Fieza Fazlin manakala Ab Razak tidak diwakili peguam. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130708/ma_02/Pegawai-Petronas-didakwa-terima-rasuah-RM13800#ixzz2YRyrUYSX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment