Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Pasangan kekasih direman 7 hari


Kuching: Sepasang kekasih direman tujuh hari mulai semalam, bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi berusia sembilan bulan yang meninggal dunia, kelmarin dipercayai akibat penderaan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Pauzi Bujang, berkata suspek ditahan adalah ibu kandung mangsa dan seorang lelaki yang juga kekasihnya, masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an.
Beliau berkata, ibu bayi terbabit ditahan kira-kira jam 4 petang, kelmarin ketika datang ke hospital untuk melawat mangsa, manakala teman lelakinya ditahan di sebuah rumah di Batu 15, Jalan Kuching-Serian, pada kira-kira jam 6 petang.

Kemungkinan didera

“Punca kematian dan kecederaan pada badan bayi malang itu akan diketahui selepas proses bedah siasat dijalankan.

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa didera dan terbiar tanpa penjagaan rapi daripada pasangan berkenaan,” katanya.

Pauzi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesan lebam

Mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas berada dalam keadaan lemah dengan kesan lebam di badan dan kepala sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam kira-kira 10.30 pagi, kelmarin.

Bayi itu yang dikenali sebagai Danish meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama empat hari di ICU, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Batu 15, Jalan Kuching-Serian.

No comments:

Post a Comment