Padah menyamar pegawai polis
Azlam mengaku bersalah menyamar menjadi pegawai polis untuk menipu serta mengaku bersalah mengurung mangsa di dalam sebuah kereta
KUALA TERENGGANU - Seorang penarik kereta terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Majistret, di sini, semalam, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadapnya selepas mengaku bersalah menipu dengan cara menyamar sebagai pegawai polis pada Januari lalu.

Azlam Ngah, 32, dari Rumah Awam Kos Rendah, Mengabang Lekar, Batu Rakit, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan bersama dua lagi rakannya, Amatul Rahman Che Omar, 25, seorang broker tanah dan Mahadi Othman, 28, seorang anggota polis.

Bagaimanapun, kedua-dua rakannya itu yang masing-masing berasal dari Jalan Terkukur, dan Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, di sini, itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.

Terdahulu, mereka bertiga bersama dua yang lain didakwa telah melakukan tipu dengan jalan samaran terhadap seorang tukang paip, Amirull Ashraf Aswadi, 18, pada 30 Januari lalu, kira-kira jam 10.10 malam, di tempat letak kereta Kampung Tiong, di sini.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Azlam turut dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah secara sengaja telah mengurung mangsa, pada 30 Januari, antara jam 10.10 malam hingga 31 Januari lalu, jam 1.30 pagi, di dalam sebuah kereta di lokasi sama.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua rakannya itu turut didakwa melakukan kesalahan sama bersama dua orang lagi yang masih bebas.

Namun, kedua-dua mereka juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala kesemua mereka termasuk Azlam tidak diwakili peguam.

Abdul Hayyi menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen dan pelantikan peguam bagi kedua-dua rakan Azlam manakala memerintahkan hukuman penjara untuk Azlam bagi kedua-dua kesalahan itu dijalankan serentak.
Berdasarkan fakta kes, pada 30 Januari lalu, kira-kira jam 10.10 malam, semasa berada di rumahnya di Jalan Hiliran Jejawi, di sini, mangsa menerima panggilan telefon daripada rakannya yang dikenali Udin iaitu suspek.

Suspek telah meminta mangsa datang ke kedai makan Pak Awang di Jalan Hiliran, di sini, kerana memberitahu ada hal penting.

Mangsa yang tidak menyimpan sebarang syak telah pergi ke lokasi diberitahu dan berjumpa suspek sebelum diarahkan masuk ke dalam sebuah kereta jenis Iswara Aeroback yang sedia menunggu di tempat letak kereta di Kampung Tiong, di sini.

Semasa itu, suspek telah keluar dari kereta berkenaan dan secara tiba-tiba datang tiga lelaki tidak dikenali mangsa masuk ke dalam kereta sebelum salah seorang daripada mereka telah menggari tangan mangsa menggunakan gari mempunyai logo polis.
Salah seorang daripada mereka menuduh mangsa menyimpan pil kuda dan mengarahkan agar menyerahkan kesemua pil kuda kepada mereka, kononnya anggota polis yang sedang bertugas.

Mangsa yang memang tidak memiliki barang terlarang itu seterusnya dibawa masuk ke dalam kereta lain dan dibawa di hadapan Balai Polis Kuala Terengganu sebelum mengugut akan memasukkan mangsa ke dalam lokap jika
masih berdegil untuk tidak menyerahkan pil kuda berkenaan.

Bagaimanapun, tanpa diberikan pil kuda, mangsa telah dibebaskan dengan ditinggalkan di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, di sini, selepas beg duit yang mengandungi wang tunai RM150; sebuah telefon bimbit serta satu jam tangan yang anggaran keseluruhan RM700 dirampas.