Nak cari dadah, jumpa diesel
Motor yang digunakan untuk mengepam diesel dari tangki minyak di bawah lori.
Nak cari dadah, jumpa diesel
Muhabir (kiri) dan Salehhudin menunjukkan hos yang digunakan untuk memasukkan diesel dari tangki di dalam lori.
Nak cari dadah, jumpa diesel
Serbuan sepasukan polis dari BSJN di sebuah stor di Taman Teknologi Cheng membawa kepada penemuan 22 tong dipenuhi diesel selain lima lori termasuk empat yang diubahsuai.
MELAKA - Sepasukan polis narkotik yang menyerbu sebuah stor di TTC 2, Taman Teknologi Cheng, di sini, terkejut apabila menemui 22,000 liter tong berisi diesel bernilai RM41,800 dipercayai untuk pasaran gelap, pagi semalam.

Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu menemui 22 tong berkenaan ketika membuat tangkapan terhadap seorang lelaki yang disyaki penagih dadah dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi.

Sinar Harian difahamkan, terdapat dua lelaki yang juga pekerja stor simpanan diesel dua tingkat ketika enam anggota termasuk seorang pegawai membuat serbuan.

Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori sedang tidur di tingkat atas sementara pengurus stor sedang menyapu lantai stor ketika serbuan dijalankan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati stor itu dipenuhi 36 tong, sebanyak 22 tong dipenuhi diesel dan 14 tong lagi kosong serta empat alat penyedut minyak.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan stor berkenaan membawa kepada penemuan 22 tong berisi diesel dan lima lori termasuk empat diubahsuai.

“Kesemuanya termasuk diesel dan lori akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, pihak kami menahan pemandu lori berusia 21 tahun selepas ujian saringan awal urin dijalankan terhadapnya menunjukkan positif methamphetamine,” katanya, semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pengarah PPDNKK negeri, Muhabir Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kesemua cecair itu diperoleh  dari stesen minyak berhampiran.

“Kami percayai diesel ini dibeli secara runcit dari stesen minyak berdekatan sebelum mengumpulkan kesemua tong berisi diesel di stor ini.

“Mereka menggunakan lori-lori yang diubahsuai untuk meletakkan tangki sehingga mampu memuatkan lima liter diesel dalam satu masa ini juga dipercayai akan dibuka apabila membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom),” katanya.

Muhabir berkata, pengurus stor berusia 34 tahun itu akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.