Search This Blog

Sunday, July 21, 2013

Nahas trak pikap ragut 5 nyawa


Mayat lima mangsa kemalangan maut diletakkan di dalam bilik mayat sebelum bedah siasat di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
NUSAJAYA 21 Julai - Seorang peniaga ikan dan empat wanita warga Indonesia maut selepas trak pikap dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang jejambat bulatan Kota Iskandar di Lebuh Raya Pesisir Pantai Johor Bahru-Nusajaya di sini hari ini.
Mereka yang maut dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari itu ialah Mokhtar Khalid, 43, manakala empat lagi mangsa dikenali sebagai Marini, Sehate, Desi Anggereani dan Santi Novita Sitepu, berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Kesemua mereka sedang dalam perjalanan dari bandar raya menuju ke Gelang Patah. Difahamkan Mokhtar membantu seorang rakannya untuk menghantar keempat-empat wanita tersebut ke tempat kerja mereka di Gelang Patah.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Nor Hashim Mohamad berkata, pemandu trak pikap jenis Toyota Hilux berkenaan dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju.
"Trak berkenaan kemudian terbabas lalu merempuh tiang jejambat sebelum terhumban ke dalam sebatang longkang yang terletak di bahu jalan. Kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan, cuaca serta tanda jalan di situ dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi di sini sambil memberitahu, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, isteri Mokhtar, Hasni Ali, 36, ketika ditemui terkilan kerana tidak dapat berbuka puasa bersama suaminya.
"Saya sangat terkejut menerima berita ini dan sedih kerana kami sudah berjanji untuk berbuka puasa bersama dan kali terakhir kami berhubung adalah menerusi SMS (sistem pesanan ringkas) semasa dia bertanyakan juadah berbuka puasa.
"Arwah tidak menunjukkan perubahan ketara semalam dan dia ada pulang ke rumah pukul 12 tengah hari sebelum keluar semula untuk urusan kerja," katanya.
Rakan kepada Mokhtar, Faizal Abd. Rahim, 37, berkata, dia sangat terkejut apabila menerima berita mengenai kejadian itu dan segera ke Rumah Mayat HSA bagi mengecam sendiri jenazah rakannya itu.
Katanya, dia mengenali Mokhtar sejak tiga tahun lalu dan bersama-sama menjalankan perniagaan menjual ikan di Larkin, dekat sini.
"Saya hanya dapat mengecam muka arwah sahaja manakala empat lagi individu yang bersamanya tidak dapat kenal pasti kerana pihak hospital tidak membenarkan saya berbuat demikian," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130722/dn_04/Nahas-trak-pikap-ragut-5-nyawa#ixzz2ZsjuZGvz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment