Manivanan
Manivanan
IPOH – Seorang pengawal keselamatan berdepan detik cemas apabila diserang sekumpulan enam lelaki dan dikurung selama tiga jam dengan kaki dan tangan diikat dengan wayar kabel dalam kejadian pecah masuk sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mulut mangsa, R Manivanan, 35, disumbat dengan gumpalan kertas sebelum dihumban dalam bilik suis utama sekolah sambil ditemani seorang penjenayah ketika enam yang lain memecah masuk pejabat pengetua sekolah berkenaan.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia sedang membuat rondaan di kawasan belakang sekolah kira-kira jam 2.10 pagi dan dibelasah sehingga pengsan akibat tidak tahan menanggung kesakitan selepas seminggu menjalani pembedahan apendiks.

“Saya bertugas di bahagian belakang sekolah manakala, rakan saya bertugas di pintu hadapan. Ketika rondaan itu, seorang lelaki bertopeng memaut dari belakang dan mencucuk leher saya dengan menggunakan pemutar skru dan enam lain baru keluar dari kawasan semak berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Menurutnya, dia merayu kepada perompak terbabit supaya tidak menerus niat membunuhnya ketika salah seorang dari kumpulan terbabit mahu berbuat demikian.

“Saya terus merayu dilepaskan kerana saya mempunyai empat anak dan seorang isteri yang sedang mengandung dua bulan. Penjenayah yang jaga saya meminta rakannya tidak mencederakan tambahan tangan kanan saya tidak boleh bergerak,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan kejadian kedua dalam masa dua minggu apabila kejadian pecah masuk sebelum ini membabitkan kerugian lebih RM14,000 selepas penjenayah memecah masuk bilik guru sekolah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sebanyak 80 telefon bimbit milik pelajar sekolah dikebas selain wang tunai lebih RM400 dan peralatan komputer berjaya dilarikan suspek.

“Kita menerima empat laporan polis berhubung kejadian itu dan mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul di dada dan perut. Pejabat pentadbiran sekolah terbabit ada tanda-tanda pecah masuk,” katanya.