Search This Blog

Tuesday, July 23, 2013

Mayat tiga wanita dalam plastik sampah

SEORANG anggota Biro Identifikasi dan Siasatan Jenayah merakam gambar di belukar berhampiran mayat tiga wanita ditemui di Cleveland Timur semalam.- ap


CLEVELAND TIMUR - Pihak berkuasa yang menemui mayat tiga wanita di dalam beg sampah di kawasan kejiranan berpendapatan rendah di sini mengakhiri pencarian mereka tanpa menemui mangsa lain.
Polis menggeledah kawasan itu selepas menerima aduan bau busuk daripada penduduk tempatan.
Seorang pesalah seks berdaftar kini ditahan berhubung penemuan ngeri itu.
Ketua polis Cleveland Timur, Ralph Spotts memberi amaran bahawa satu atau dua lagi mangsa mungkin ditemui semalam tetapi beliau enggan mengulas lanjut.
Penemuan tersebut merupakan kes wanita hilang terbaharu yang berlaku di bandar ini.
Pada awal tahun ini, tiga wanita telah dibebaskan selepas mereka ditahan di sebuah rumah selama bertahun-tahun.
Spotts berkata, suspek kes bunuh itu berusia 35 tahun dan dikenali sebagai Michael Madison.
Menurutnya, polis menemui mayat seorang wanita di dalam sebuah garaj pada Jumaat lalu dengan dua lagi mangsa dijumpai keesokan harinya.
Mayat kedua berada di belakang sebuah rumah manakala mangsa ketiga ditemui di bilik bawah tanah sebuah rumah kosong di sini.
Ketiga-tiga mayat wanita itu ditemui selang 182 meter. Polis percaya mereka dibunuh dalam tempoh enam hingga 10 hari lepas.
Kata Spotts, polis tidak pasti sama ada terdapat beberapa mangsa lain selepas menyoal siasat suspek.
"Dia tidak memberitahu sama ada terdapat mangsa- mangsa lain tetapi dia tidak pula menafikannya," ujar Spotts.
Operasi mencari mangsa semalam melibatkan pihak polis yang menggeledah 40 buah rumah kosong.
Semua mayat itu sudah mula mereput dengan masa beberapa hari diperlukan untuk jabatan forensik mengenal pasti identiti mangsa dan sama ada mereka telah dirogol sebelum dibunuh.
Madison didaftar sebagai pesalah seks pada tahun 2002 apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana cubaan rogol.
Dia juga mempunyai sabitan terdahulu pada tahun 2000 dan 2001 berkaitan kes dadah. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2ZpjD36x7 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment