Search This Blog

Wednesday, July 17, 2013

Mayat bayi depan masjid

'Tolong sempurnakan bayi ini'
Hassan menunjukkan tempat mayat bayi perempuan dijumpai di dalam raga. Gambar kecil: Bayi perempuan dipercayai berusia dua hari ini ditemui di hadapan Masjid Saleng selepas kariah masjid selesai solat Subuh.
KULAIJAYA – ‘Tolong sempurnakan jenazah ini’. Pesanan nota itu ditemui bersama RM50 dalam sebuah raga berisi mayat bayi perempuan yang ditinggalkan di hadapan Masjid Saleng, pagi semalam.

Masih ada insan tergamak mencemar kesucian Ramadan dengan membuang mayat bayi yang mujur  dijumpai kariah masjid itu selepas  selesai menunaikan solat Subuh.

Si kecil tidak bernyawa dan masih bertali pusat itu berusia dua hari ditemui berbalut kain putih di hadapan pagar masjid, tali pusatnya hanya diikat dengan gelang getah.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, bayi berkenaan ditemui orang awam selepas ternampak sebuah raga mencurigakan di tepi pintu masjid berkenaan sekitar jam 6.05 pagi.

“Orang awam yang menemui raga berkenaan segera memeriksa dan mendapati seorang bayi perempuan yang telah meninggal dunia dibungkus dengan kain putih.

“Mereka turut menjumpai sampul surat mengandungi wang RM50 dan surat bertulis ‘Assalamualaikum, tolong sempurnakan jenazah ini yang tidak berdosa sekian terima kasih untuk hamba yang menolong’,” katanya.

Zulkefly berkata, bayi terbabit dipercayai ditinggalkan di hadapan masjid ketika kariah sedang menunaikan solat Subuh.

“Ini kerana raga berkenaan tidak ditemui semasa jemaah masuk ke dalam masjid,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bayi perempuan berkenaan tidak mengalami sebarang kecacatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, untuk bedah siasat.

“Pasukan siasatan dengan bantuan forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor telah ke tempat kejadian dan mendapati bayi cukup sifat itu sudah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati rupa paras bayi berkenaan mirip kepada keturunan Melayu,” katanya.

Sementara itu, noja masjid, Hassan Mohd Tab, 63, berkata, kejadian disedari salah seorang kariah yang menyangka terdapat bantal diletakkan di hadapan pagar masjid.

“Kami segera melihat objek di hadapan pagar dan terkejut terdapat bayi perempuan di dalam raga yang diletak di situ. Saya segera hubungi polis apabila dapati bayi itu sudah tidak bernyawa,” katanya.

No comments:

Post a Comment