Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Lunas dendam!


Dungun: “Saya puas hati apabila dendam terhadap peragut selama ini terbalas,” kata Mazriezawani Abd Ghani, 23, yang menumpaskan dua peragut beg tangannya di Jalan Yahaya Ahmad, di sini, semalam.

Mazriezawani berkata, dendamnya terbalas selepas dia gagal mengejar seorang peragut yang meragut beg tangannya pada 2 Mac 2011, jam 10.30 malam.


“Syukur hari ini (semalam) saya puas hati berjaya mengejar dua peragut terbabit sehingga motosikal dinaiki mereka terbabas dan terbalik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Pintasan, di sini, semalam.

Dia yang juga kerani di sebuah kedai menjual alat ganti kenderaan di Jalan Baru Pak Sabah, di sini, berkata, kejadian berlaku jam 1.10 tengah hari ketika dalam perjalanan dari tempat kerja untuk membeli keperluan dapur di bandar Dungun.


Katanya, setibanya di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar untuk membuat pusingan U, tiba-tiba kedua-dua peragut berusia 18 dan 31 tahun terbabit menghampiri motosikalnya sebelum meragut beg tangan dalam bakul motosikalnya.


“Peragut terbabit memecut kenderaannya melawan arus menghala Kuala Dungun dan saya nekad mengejarnya kerana perasaan dendam pernah diragut sebelum ini masih membara dalam hati,” katanya.

Mazriezawani berkata, ketika menghampiri suspek dia nekad menendang motosikal suspek namun gagal selepas seorang daripada suspek yang membonceng motosikal itu mengeluarkan pisau untuk menikamnya.


“Saya mengejarnya sambil melaung meminta tolong daripada orang ramai namun 500 meter selepas itu suspek memasuki simpang Kampung Tanah Lot yang menyebabkan motosikalnya terbabas dan terhumban ke atas jalan,” katanya.

Katanya, ketika itu dia juga gagal membrek dan motosikal yang ditungganginya mengalami nasib sama sebelum orang ramai membantu serta mengejar seorang daripada suspek.


“Saya memukul suspek yang patah tangan kiri dan cedera di mata kanan serta kaki kirinya sebelum dihantar orang ramai ke Hospital Dungun dan saya bersyukur kerana hanya cedera ringan,” katanya.


Menurutnya, suspek yang cedera itu dibawa anggota polis untuk rawatan di Hospital Dungun manakala rakan suspek yang melarikan diri itu diberkas orang ramai sebelum dibawa ke Balai Polis Dungun dengan kereta peronda.


“Selepas mendapat rawatan di Hospital Dungun, saya ditemani bapa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun jam 3 petang untuk membuat laporan,” katanya.

No comments:

Post a Comment