Lelaki terlepas hukuman mati
Tertuduh (kanan) keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah miliki dadah, semalam.
KOTA BHARU - Seorang lelaki bernasib baik apabila terlepas hukuman mati selepas dakwaan mengedar dadah dibuat ke atasnya dipinda ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan memiliki dadah berkenaan, tiga bulan lalu.

Mohd Amin Mohammad, 49, didakwa pada tuduhan pindaan memiliki 5.52 gram dadah jenis heroin di kawasan letak kereta Masjid Keroh, Kuala Krai, pada jam 6.30 petang, 16 April.

 Tuduhan pindaan dibuat itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukum penjara tidak kurang lima hingga 20 tahun dan disebat tidak kurang 10.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Ahmad Bazli tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. Kes bersambung 1 Ogos depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari.