Leher dikelar penyamun
Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Long Peng melawat mangsa kelar dalam kejadian samun di pusat snuker di Taman Mewah, di sini, lewat petang semalam.
Leher dikelar penyamun
Goh Kok Liang
TELUK INTAN - Seorang penjaga pusat snuker nyaris maut apabila dikelar oleh ‘pelanggannya' dalam satu kejadian samun, lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu berlaku di pusat snuker di Taman Mewah, Jalan Maharajalela di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kedua-dua suspek datang ke premis itu kira-kira jam 6.25 petang dan berpura-pura sebagai pelanggan yang mahu bermain snuker.

Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bekerja sebagai penjaga premis ketika itu.

"Mangsa tidak mengesyaki sebarang perbuatan mencurigakan kedua-dua suspek memandangkan terdapat pelanggan lain dalam premis itu dan dia menjalankan kerjanya seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, kesemua pelanggan di premis tersebut mulai pulang kecuali kedua-dua suspek yang berpura-pura meneruskan bermain snuker.

“Ketika premis itu sudah tiada pelanggan lagi, kedua-dua suspek bertindak mengeluarkan pisau lalu menyamun mangsa yang ketika itu berada di kaunter pembayaran.

“Mangsa terkejut dengan kejadian itu lalu bertindak melawan balik dengan menggunakan sebuah kerusi menyebabkan satu pergelutan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, pergelutan itu turut menyebabkan mangsa dikelar oleh suspek dengan menggunakan pisau.

Katanya, suspek kemudiannya menyamun wang yang berada di dalam kaunter pembayaran sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna emas dan meninggalkan mangsa  dalam kesakitan.

"Secara kebetulan, pemilik premis tersebut telah datang untuk melakukan pemeriksaan terhadap perniagaan sebelum menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

"Terkejut melihat keadaan pekerjanya, pemilik premis menghantar mangsa ke Hospital Teluk Intan," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah dikelar kira-kira 15 cm di leher dan menerima rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan, kini beransur stabil.

Kok Liang berkata, pihaknya kini sedang meneliti rakaman kamera tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis.