Ketum basah dalam pembesar suara
Anggota UPP menunjukkan daun ketum yang ditemui dalam pacuan empat roda.
IPOH -  Tindakan tidak sengaja seorang anggota penguat kuasa menepuk pintu dan peti pembesar suara sebuah pacuan empat roda dalam sekatan jalan raya di sini, berjaya menemui daun ketum memenuhi dalam kedua-dua tempat itu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi di Kilometer 4.5, Jalan Pengkalan Hulu-Betong, Thailand, seorang lelaki yang memandu sebuah pacuan empat roda tergamam apabila rahsianya menyembunyikan bahan larangan itu terbongkar.

Lelaki warga Thailand berusia 27 tahun itu memandu kenderaan seorang diri untuk pulang ke negara itu ditahan dalam operasi mencegah penyeludupan oleh empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang diketuai Pegawai Kanan Kastam, Junaizan Jusoh.

Komander UPP Perak, Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, suspek pada mulanya cuba berdalih sebaik disoal dan enggan menunjukkan pasportnya apabila diminta untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, pemeriksaan seterusnya menemui daun ketum berkenaan turut disumbat penuh dalam peti pembesar suara radio pada kenderaanya.

“Suspek mengikat daun ketum seperti sirih dan dibungkus dalam plastik putih.

“Suspek mengaku membeli daun ketum berkenaan di Kedah pada harga RM30 sekilogram dan akan menjualnya di Thailand dengan harga lebih dua kali ganda,” katanya.

Kasturi berkata, suspek dan kenderaannya kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu manakala daun ketum diserahkan ke Jabatan Narkotik Pengkalan Hulu untuk siasatan lanjut.

“Hasil usaha tanpa henti dan kawalan ketat menyebabkan UPP Perak sehingga kini berjaya menyelesaikan lapan kes penyeludupan daun ketum tahun ini," katanya.