Search This Blog

Wednesday, July 17, 2013

Ketua kartel dadah Zetas Mexico ditangkap

JURUCAKAP pemerintah, Eduardo Sanchez (tengah) mengadakan sidang media mengenai operasi ketenteraan yang berjaya menangkap ketua kartel dadah Zetas, Miguel Angel Trevino Morales di Mexico City, Mexico kelmarin.- AFP


BANDAR RAYA MEXICO - Ketua kartel dadah Zetas, Miguel Angel Trevino Morales (gambar kecil) yang terkenal kerana kekejamannya ditangkap pihak berkuasa sebelum subuh kelmarin, kata beberapa pegawai.
Morales yang menaiki sebuah trak pikap dipintas dan diberkas oleh pasukan tentera marin Mexico di sebatang jalan di kawasan luar bandar berhampiran sempadan bandar Nuevo Laredo.
Pihak berkuasa turut menemui wang tunai AS$2 juta (RM6.36 juta) dan lapan pucuk senjata api di dalam trak tersebut.
Jurucakap pemerintah, Eduardo Sanchez berkata, kenderaan itu dihentikan oleh sebuah helikopter tentera marin dan Morales ditahan bersama seorang pengawal peribadi serta seorang akauntan.
Dia dan rakan subahatnya kemudian diterbangkan ke Bandar Raya Mexico dan dijangka dibicarakan dalam sistem tertutup yang biasanya mengambil masa lama.
Morales yang dikenali sebagai Z-40 merupakan salah seorang daripada dua ketua kartel paling berkuasa di negara Amerika Tengah itu.
Suspek berusia 40 tahun itu ialah bekas pemimpin pasukan tentera elit yang pernah berkerja untuk sindiket dadah.
Namun, pada tahun 2010 dia dan beberapa individu lain menubuhkan kartel dadah sendiri, selain menjalankan aktiviti peras ugut, penculikan dan pemerdagangan manusia.
Sanchez berkata, Morales didakwa atas kesalahan mengarahkan penculikan dan pembunuhan 265 pendatang asing.
Dia dipilih sebagai ketua kartel Zetas pada 2012 selepas penyandang terdahulu, Heriberto Lazcano Lazcano ditembak mati oleh pihak berkuasa pada tahun sama.
Pentadbiran Amerika Syarikat pernah menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM15.9 juta) bagi pemberian maklumat yang membawa kepada penangkapannya. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ZH7PfaBM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment