Search This Blog

Monday, July 8, 2013

Kereta api barang rempuh bandar

BANGKAI kereta api barang yang meletup selepas tergelincir dari landasan di bandar Lac Megantic, Kanada kelmarin.- REUTERS


LAC-MEGANTIC - Sekurang-kurangnya 80 orang di bandar ini, Kanada dikhuatiri hilang dalam letupan dan kebakaran yang berlaku selepas sebuah kereta api barang tergelincir dan terbakar, kata seorang anggota bomba di lokasi kejadian kelmarin.
Pegawai berkenaan berkata, kereta api itu merempuh beberapa buah bangunan dalam nahas yang berlaku sejurus selepas pukul 1 pagi (waktu tempatan).
Semasa kejadian, kereta api yang membawa 72 gerabak itu tergelincir dari landasan lantas merempuh bandar kecil itu yang dihuni oleh 6,000 penduduk di wilayah Quebec.
Beberapa orang saksi berkata, mereka terdengar beberapa bunyi letupan kuat diikuti dengan bebola api naik ke udara.
"Terdapat sekurang-kurangnya 50 orang di dalam sebuah bar yang dirempuh kereta api itu. Kini, tiada apa yang tinggal," kata anggota bomba itu.
Menurutnya, beberapa lagi mangsa yang berada di dalam beberapa buah bangunan lain juga dikhuatiri hilang dalam kebakaran tersebut.
Terdahulu, pihak berkuasa mengesahkan mereka menemui satu mayat dalam nahas itu.
Media tempatan, Radio-Canada melaporkan kebakaran masih belum dapat dipadamkan selepas 20 jam nahas berlaku.
Seramai 150 anggota bomba telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, zon perpindahan sekitar satu kilometer dari lokasi kejadian turut diperluaskan sebagai langkah berjaga-jaga berhubung pencemaran udara akibat asap tebal daripada kebakaran tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0708&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2YQMYodA1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment