Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Kelindan maut tersepit


Seremban: Seorang kelindan warga Bangladesh maut apabila lori satu tan dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran stesen minyak Mobil dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 8.50 pagi itu, lori berkenaan dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal yang secara tiba-tiba meluru keluar dari simpang Forest High, dekat sini.


Jurucakap polis berkata, akibatnya lori berkenaan gagal dikawal lalu terbabas dan terbalik di bahu kiri jalan dengan keadaan empat tayar ke atas.



Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian lori membawa muatan jeriji besi itu dinaiki tiga lelaki iaitu pemandu warga tempatan berusia 24 tahun dan dua warga Bangladesh termasuk mangsa, Md Saiful Islam, 29, dari arah Taman Tasik Jaya ke Kuala Pilah.


“Akibat kemalangan, mangsa cedera parah, manakala rakan senegaranya berusia 42 tahun dan pemandu itu cedera ringan.


“Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Ampangan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pagi ketika dirawat.

“Siasatan awal, polis mendapati lori berkenaan bergerak terus dan cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang tiba-tiba meluru keluar dari simpang Forest High,” katanya.


Jurucakap polis berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

No comments:

Post a Comment