Kelengkapan Aidilfitri musnah
Tok Wan Daud (kiri) bersama Zul Wisma dan salah seorang anaknya melihat sisa kelengkapan rumahnya yang masih tinggal selepas musnah dalam kebakaran dua hari lalu
KOTA BHARU- Lima beranak di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran dua hari lalu.

Kejadian sekitar jam 10.15 pagi itu menyebabkan Wan Daud Wan Othman, 56, kerugian lebih RM50,000 apabila hanya sempat menyelamatkan dua kereta, motosikal dan televisyen sahaja, manakala kelengkapan rumah yang lain musnah.

Wan Daud yang lebih dikenali sebagai Tok Wan Daud Tok Jogho berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas di Kem PGA, sementara isteri di rumah mertua, Esah Idris yang terletak kira- kira 500 meter dari rumah mereka, manakala anak-anak berada di sekolah.

“Kelengkapan Aidilfitri musnah, sebaliknya apa yang ada pada saya hanya uniform kerja, anak-anak pula hanya miliki pakaian seragam sekolah masing-masing manakala isteri, sehelai t-shirt bersama kain batik dan tudung,” katanya yang menyediakan tiga pasang pakaian hari raya bagi setiap anaknya.

Tok Wan Daud yang juga ahli koperasi dikir barat Kelantan berkata, dia hanya mengetahui tentang kejadian selepas dihubungi isteri, Wan Mariani Wan Ab Rahman sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat dan bergegas pulang.

Walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpa, Tok Wan Daud tetap bersyukur apabila isteri dan anak-anaknya yang berusia antara 10 hingga 17 tahun selamat.

Dia yang tinggal menyewa di rumah berkenaan sejak lima tahun lalu mengesyaki kejadian mungkin berpunca dari litar pintas kerana rumah tersebut masih menggunakan sistem pendawaian elektrik lama.

“Menurut buruh binaan yang sedang membina rumah di hadapan kediaman saya ini, asap didapati keluar dari soket periuk nasi elektrik di bahagian dapur,” katanya.

Dalam pada itu, Tok Wan Daud yang turut dikunjungi Pengerusi Koperasi Dikir Barat Kelantan Berhad Zulkepli Mohamed ( Zul Wisma ) berterima kasih kepada ketiga-tiga buruh binaan yang membantu menyelamatkan beberapa barang berharga miliknya termasuk kereta dan motosikal.

“Terima kasih juga kepada Datuk (Zul Wisma) yang meluangkan masa melawat saya sekeluarga sebaik mengetahui kejadian yang berlaku, ”katanya.

Sementara itu, Zul Wisma berkata, pihaknya akan membantu meringankan beban ditanggung Tok Wan Daud termasuk merujuk pihak berkenaan di peringkat kerajaan negeri.